BETONG: Jasa dan penat lelah jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban diraikan dalam satu majlis penghargaan bertempat di Dewan Masyarakat Spaoh pada Selasa.
Ia dihadiri Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama masyarakat Iban di situ terdiri daripada AJK Parti PBB Ranting Induk, Ranting Wanita dan Pemuda dari 13 ranting parti di kawasan rumah panjang, para tuai rumah, kaunselor dan ketua masyarakat.
Dalam ucapannya, Datuk Amar Douglas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli-ahli jentera PRN Sarawak Ke-12 yang telah bertungkus-lumus dan bekerja keras semasa tempoh pilihan raya yang lalu.
Malah, beliau sangat kagum dengan komitmen dan kerjasama jentera parti yang bekerja dengan gigih tanpa mengira waktu.
“Hasilnya, kita menang dengan cemerlang di Bukit Saban. Dan seterusnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar di Sarawak sehingga mencapai 76 dari 82 kerusi.
“Kerajaan GPS akan meneruskan dan melaksanakan agenda membangunkan Sarawak amnya dan Bukit Saban khasnya. Kemenangan ini juga memberi gambaran rakyat Sarawak memahami serta menerima perjuangan dan hala tuju kerajaan GPS seperti yang digariskan di dalam manifesto,” katanya.
Terdahulu, program sama turut diadakan pada Isnin bagi meraikan jentera pilihan raya dari kalangan masyarakat Melayu dan Cina di Spaoh dengan majlis dipecahkan kepada dua sesi bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Hadir sama isteri Datuk Amar Douglas Uggah, Datin Amar Dato Doreen Mayang; Setiausaha Politik kepada YAB Ketua Menteri Sarawak, Dr Richard Rapu serta ketua-ketua masyarakat. – EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS